Category Archives: Kesihatan

Ingin Cantik Dengan Lendir Siput

3551529398_4a940cf641

Ingin kulit wajah yang cantik dan ayu? Ingat cantik, ingat siput. Ya, siput yang merayap ditanah boleh menjadikan kulit wajah cantik dan berseri. Siput yang dimaksudkan itu mestilah yang dapat mengeluarkan lendir apabila ia bergerak.

“Lendir dari siput dapat membersihkan sel-sel tua, merawat kulit yang terbakar matahari (sun burn) dan dapat melembabkan kulit” kata Manami Takamura. Juru cakap salon kecantikan Ciz Labo di Tokyo, Jepun itu melihat pada keajaiban pada lendir siput boleh dijadikan bisnis kecantikan wanita.

Mulai bulan Julai 2013 yang lalu, salon Ciz.Labo menyediakan pakej perawatan kulit berjudul, Celebrity Escargot Cource. Para pelanggan yang mengambil pakej perawatan kulit akan mendapatkan tiga ekor siput yang ditempelkan di kulit muka mereka. Sebaik sahaja menyentuh kulit wajah, siput itu akan merayap berkeliaran menjelajah seluruh wajah selama lima minit.

Terasa bagai mimpi buruk bagi mereka yang jijik melihat siput, akan tetapi tidak bagi mereka yang menginginkan kecantikan wajah. Semasa rawatan itu, anda perlu menahan rasa geli bila siput-siput itu bergerak di seluruh wajah anda. Pada mulanya memang akan berasa sedikit terkejut, tetapi seelepas beberapa ketika akan terasa enak pula.
bekicot-di-wajah
Bermacam cara dilakukan oleh wanita bagi memperolehi wajah yang ayu. Salah satunya rela digerayangi siput yang mengeluarkan lendir yang membasahi wajah.

Lendir siput itu tentu saja lendir murni bukan sekadar ekstrak yang dicampur bahan kimia seperti yang terdapat dalam bahan kosmetik. Setiap terapi, salon itu meletakkan harga 10,500 yen (lebih kurang RM350) untuk membayar siput-siputnya saja.
Ingin mencuba? Banyak siput-siput di sekeliling kita yang berkeliaran setiap pagi!

Tinggalkan komen

Filed under Kesihatan, Menarik, pelik

Remaja Cina Pun Berkhatan..

Seramai 11 orang remaja Cina berusia lapan hingga 18 tahun yang menyertai acara berkhatan di Kampung Pasir Parit, Pasir Mas, Kelantan.

PASIR MAS 13 Nov. – Amalan berkhatan yang menjadi kewajipan dalam kalangan umat Islam turut diamalkan masyarakat Cina sebagai tradisi sejak sekian lama.
Dalam meneruskan tradisi berkenaan sebanyak 11 remaja remaja kaum Cina berusia lapan hingga 18 tahun menyertai acara berkhatan dalam majlis yang diadakan di Kampung Pasir Parit di sini.
Timbalan Pengerusi Gerakan Kelantan, Albert Khor berkata, tradisi berkhatan telah diamalkan masyarakat Cina di sini sejak 50 tahun lalu.
Beliau berkata, amalan tersebut diterima masyarakat Cina dan menjadi tradisi turun-temurun bermula dari zaman nenek moyang yang menetap di daerah Pasir Mas ini berpuluh tahun dahulu.

Katanya, tiada masalah mengamalkan berkhatan ini kerana sangat baik terutama dari segi kesihatan  dan kebersihan.

“Tanyalah sahaja penduduk lelaki di kampung ini, pasti sukar untuk mencari yang belum berkhatan ” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, seorang peserta berkhatan tersebut, Khor Han Shen Justin, 15, berkata dia sudah menanam niat berkhatan sejak di bangku sekolah rendah lagi. Justin berkata ibubapanya juga tidak menghalang malah menggalakkannya berkhatan seperti ahli keluarganya yang lain.

Sumber: UTUSAN

Tinggalkan komen

Filed under Islam, Kesihatan, Menarik

Rawatan Tradisional Merawat Patah Tulang

PASIR MAS, KELANTAN:  MASALAH patah tulang sering terjadi dan mangsanya pasti berasa sakit yang amat sangat. Lazimnya patah tulang berlaku terhadap mangsa akibat nahas jalan raya, terjatuh dari pokok, ditimpa benda yang berat atau sebagainya. Namun, mangsa patah tulang tidak perlu berasa bimbang tentang bakal berlaku seperti cacat atau sebagainya kerana rawatan terhadapnya akan dapat mengembalikan sebagaimana keadaan asal malah sembuh sepenuhnya dalam masa tiga hari sahaja. Apatah lagi, rawatan patah tulang terbabit tidak perlu mengeluarkan belanja yang besar jika dilakukan secara tradisional berbanding di hospital.

Pengalaman salah seorang pakar merawat tulang secara tradisional yang ditemui Penulis, Abdul Rahman bin Daud, 65, atau lebih dikenali Tok Ayah Man Bomoh Patah dari Kampung Chetok Sungai, Pasir Mas, Kelantan mengakui, merawat mangsa patah tulang paling senang baginya dan tidak sesukar mana berbanding yang dilakukan secara moden.

Menyorot sejarah beliau mendapat ilmu merawat patah tulang sebagai bomoh dari arwah orang tuanya. Namun, kebanyakan amalan yang diajari oleh orang tuanya itu adalah sebagaimana wirid yang diamalkannya di dalam sembahyang.Tetapi beliau tidak menolak pernah memperolehi ilmu berkenaan daripada keturunan atuknya yang berasal dari Pattani, Siam.

Katanya, beliau berkecimpung sebagai bomoh patah tulang sejak lebih 10 tahun lalu. Pada awalnya, beliau memang menolak untuk diajarkan ilmu berkenaan kerana menurut adiknya, beliau adalah seorang yang agak lembam. Namun, takdir Allah S.W.T  adalah penentu segala-galanya apabila salah seorang penunggang motosikal yang terbabit dengan nahas jalan raya semasa menunggang menyebabkan beberapa bahagian tulang tangannya patah dua.

“Kalau tersilap rawat kemungkinan tulang mangsa yang patah itu pasti putus. Pada mulanya, Tok Ayah Man berkata tidak kepada mangsa, namun kerana sifat kasihankan penunggang terbabit terpaksalah Tok Ayah merawatnya.

“Hasil rawatan tersebut, masalah patah tulang yang dialami oleh mangsa sembuh sepenuhnya dan apabila dilihat tulang yang patah itu bersambung sebagaimana yang asal. Sekarang ini, mangsa berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)”, ujarnya ketika menjelaskan mangsa pertama yang pernah dirawatnya.

Menurut Tok Ayah Man, kaedah beliau merawatnya dengan memasukkan tulang yang patah tersebut kepada asalnya dan selepas itu beliau menggunakan “belat” (bilah-bilah buluh atau papan untuk membalut tulang patah). Semasa memasukkan tulang tersebut, tentunya pesakit akan berasa sedikit kesakitan, namun dalam masa tiga hari sahaja patah tulang tersebut sembuh seperti sediakala. Katanya, kalau tangan yang patah mangsa tidak akan berasa sakit tetapi kalau sendi yang patah atau tercabut pastinya akan berasa sakit.

Katanya lagi, semasa beliau memulakan rawatan beliau sekadar membaca “bismillah” sahaja. Namun, beliau tidak nafikan semasa sessi rawatan keturunannya itu akan datang membantu. Dengan demikian, rawatan yang dilakukannya agak mudah dan menjimatkan masa. Hasil daripada bantuan keturunannya itu beliau seolah-olah mengetahuinya sendiri dan apakah yang perlu dilakukannya.

Semasa rakaman temubual ini dibuat, mangsa yang mengalami patah tulang yang memerlukan khidmatnya masih menunggu seramai tujuh orang lagi, kesemuanya dari Kelantan. Kebanyakan mangsa patah masih memerlukan rawatannya dan sanggup menunggu agar beliau dapat memberikan rawatan yang diperlukan.

“Sudah menjadi kebiasaan bagi Tok Ayah bahawa setiap orang yang memerlukan bantuan dan pertolongan, Tok Ayah bersedia memberikan pertolongan apatah lagi yang melibatkan patah tulang dan sendi yang tertanggal.

“Walaupun tugas berkenaan pada sesetengah orang dianggap berat, Tok Ayah berpegang kepada satu prinsip iaitu Tok Ayah hanya berikhtiar dan berusaha sahaja, hanya Allah jua yang menyembuhkannya”, ujarnya.

“Tok Ayah pernah membuat rawatan patah tulang dari beberapa pesakit yang pernah masuk ke wad Hospital Sultanah Zainab II, Kota Bharu dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu.

“Ada seorang doktor pakar dari HUSM yang datang menemui Tok Ayah bagi mendapatkan rawatan untuk anaknya yang patah tulang. Ini kerana, bagi doktor pakar itu tidak sanggup memasukkan besi ke dalam tubuh anaknya”, katanya menceritakan pengalamannya merawat anak seorang doktor pakar dari HUSM itu.

Menurut Tok Ayah Man seterusnya, dalam konteks rawatan tradisional, seseorang bomoh patah akan merapatkan tulang yang patah itu supaya lemak yang terdapat pada tulang berkenaan akan turun ke bawah barulah tulang itu akan bercantum balik dengan sempurna. Berbeza pula dengan hospital yang menggunakan “besi skru” untuk mencantumkan tulang. Kaedah ini memerlukan masa yang agak lama, sebab lemak dalam tulang tersebut dihalang atau disekat oleh skru tersebut.

Menurut Tok Ayah Man, setakat ini khidmat beliau sebagai bomoh patah, beliau dapati sudah lebih 1,000 mangsa patah tulang yang pernah dirawatnya kembali menjalani kehidupan normal dan dapat menjalankan kerja seperti biasa untuk menunjukkan tulang yang patah itu sembuh sepenuhnya. Mangsa yang pernah menerima rawatan dalam sehari dianggap tidak menentu. Kadangkala agak ramai sehingga beliau tidak dapat menguruskan keperluan hariannya pernah berlaku dalam usaha untuk membantu mangsa pulih sepenuhnya. Lazimnya, kira-kira lima orang mangsa yang datang mendapatkan rawatan darinya dalam sehari.

Apabila ditanya tentang bayaran yang dikenakan terhadap mangsa, beliau sebenarnya tidak mengharapkan sebarang bayaran daripada pesakit atau mangsa, kecuali atas kerelaan dan keikhlasan daripada mangsa itu sendiri. Beliau hanya mengikut sunnah Nabi S.A.W  yang sedia berkhidmat kepada individu yang memerlukan bantuannya sahaja. Beliau tidak menetapkan harga, hanya pesakit atau mangsa yang memberikan hadiah menurut keikhlasan dan kemampuan masing-masing, itulah rezekinya pada masa itu.

Bagi Tok Ayah Man, beliau tidak berasa pelik atau sukar untuk merawat mangsa patah tulang asalkan mangsa berkenaan terus mendapatkan khidmatnya dengan segera. Bagi mangsa patah tulang yang baru pastinya akan sembuh dengan cepat berbanding dengan membiarkannya menderita sakit dalam tempoh yang agak lama, itulah yang paling sukar sekali kerana tulang yang patah itu telah didapati sebati dengan darah dan daging. Pokok pangkalnya, beliau begitu teruja untuk merawat mangsa patah tulang kerana baginya rawatan berkenaan tidaklah sesukar mana.

“Ketika Tok Ayah Man membuat rawatan, Tok Ayah hanya membaca “auzubillah himinnas syaiton nirrajim, bismillah hirrahman nirrahim” dengan kehendak dan izin Allah, tulang yang patah itu bersambung dengan sendirinya pada ketika itu juga”, jelasnya.

Untuk mendapatkan rawatan, Tok Ayah Man boleh dihubungi melalui
talian: 019-9298395.  

Sumber

http://azmipasak.blogspot.com/2012/06/rawat-patah-tulang.html

4 Komen

Filed under Cerita, Kesihatan, Menarik, Pengetahuan

Oh Nasi Lemak..

Baru-baru ini Kementerian Kesihatan melalui menterinya mengaitkan obesiti di kalangan murid sekolah dengan nasi lemak. Haaah…. betulkah nasi lemak yang dijual di kantin sekolah menyebabkan kegemukan? Masa aku bersekolah dulu, nasi lemak ni jadi makanan wajib dimakan semasa waktu rehat. Masa itu ( tahun 70an) nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang berharga 10 sen. Bila dibuka bungkusan daun pisang, keluar aroma yang cukup membuatkan air liur keluar!. Makan sebungkus pun dah cukup kenyang. Dengan amalan yang sebegitu pun , aku tak ada masalah obesiti pun.

Selepas sehari kemudian, Timbalan Menteri Kesihatan pula mengeluarkan cadangan supaya nasi lemak dijual 2 kali seminggu. Bermakna kantin kena jual makanan lain untuk 3 hari lagi, nasi lemak tak boleh  dah.

Sebenarnya punca obesiti bukan kerana nasi lemak sahaja. Banyak lagi makanan yang banyak lemak yang dijual dikantin. Lagipun murid makan nasi lemak sekali sahaja pada waktu rehat. Mungkin murid akan makan lebih makanan berlemak/kalori tinggi di luar waktu sekolah. Ini sebenarnya yang menyebabkan obesiti.

Aku rasa murid akan lebih lapar jika makan makanan yang lain, bukan nasi lemak. Bila perut lapar, macam mana nak belajar dengan sempurna. Perut asyik “menyanyi” saja sewaktu pembelajaran. Ini secara tak langsung menggangu pembelajarn murid dan hilang tumpuan pada subjek yang diajar.

Aku dibesarkan dengan nasi lemak semasa di sekolah rendah dan sekolah menengah, tapi aku tak gemuk pun. Aku rasa kementerian Kesihatan kena fikir balik cadangan ini. Di sini aku perturunkan antara cadangan Kementerian Kesihatan untuk makanan yang dijual dikantin sekolah :

  •          Nasi lemak dan nasi goreng  – Dua kali seminggu
  •          Mi, bihun, laksa                      – Dua kali seminggu
  •          lontong dan Nasi pulut          – Sekali seminggu
  •          Mi, bihun, kuetiau sup           -Setiap hari

Namun begitu, keputusan muktamad belum diambil lagi. Kementerian Pelajaran akan berbincang dulu dengan berbagai pihak bagi mendapatkan pandangan.

1 Komen

Filed under Kesihatan, Makanan, Uncategorized

Cara Menghentikan Dengkuran.

Ada masalah berdengkur semasa tidur? Orang Kedah kata “mengeruh”. Selalunya bila badan letih sangat, kita akan mengeruh (berdengkur) bila tidur. Ada yang mengeruh perlahan dan ada yang mengeruh kuat.

1. Ramai orang menganggap berdengkur merupakan perkara biasa saja. Berdengkur disebabkan oleh halangan di dalam saluran pernafasan berpunca daripada kedudukan badan yang tidak betul semasa tidur.

2. Satu lagi disebabkan oleh pengumpulan lemak di kawasan muka dan leher terutama bagi yang berbadan besar.

3. Berdengkur mungkin juga disebabkan oleh alahan. Bagi setengah orang yang alah kepada habuk atau makanan tertentu   boleh menyebabkan berdengkur.

4. Semasa sedang tidur, kita masih memerlukan pengaliran oksigen yang betul. Ini penting bagi mengurangkan berdengkur dan seterusnya mendapatkan rehat yang cukup setiap malam. Orang kata, tidur yang berkualiti.
Tidur yang berkualiti dan betul-betul nyenyak boleh terganggu disebabkan oleh gangguan dengkuran .

5. Sebenarnya ada cara semulajadi bagi menghentikan dengkuran. Aku ada masalah berdengkur bila tidur, jadi aku cari maklumat dalam internet. Inilah maklumat yang aku dapat jumpa .

1. Amalkan Senaman pernafasan
Pernafasan akan menjadi lebih mudah jika anda mempastikan otot-otot leher, kerongkong dan rahang sentiasa dalam keadaan baik. Amalkan menarik nafas panjang bagi melapangkan laluan pernafasan anda dan ini mengurangkan risiko ia tersumbat semasa anda sedang tidur.

2. Berurut
Rehat yang secukupnya boleh mengendurkan otot-otot tubuh yang tegang dan membuatkan kita dapat tidur dengan lebih nyenyak. Tetapi urutan dapat membantu mengurangkan ketegangan dan tekanan pada otot-otot utama yang mungkin menjadi penyebab kepada kesukaran untuk tidur nyenyak.

3. Mengurangkan bahan-bahan alahan yang terdapat dalam bilik tidur
Alahan boleh menjadi penyebab kepada dengkuran dan menimbulkan kesukaran untuk bernafas. Pastikan cadar dan selimut anda bersih daripada habuk dan hama. Sentiasa pasang alat penapis udara sepanjang siang dan malam bagi mendapatkan udara yang bersih dan segar.

4. Tidur menggunakan bantal peluk
Postur tidur yang selesa dan betul akan membuatkan tulang belakang kita berada pada kedudukan yang betul. Cara ini juga akan mengurangkan halangan pada saluran ke paru-paru dan nasal. Tidur mengiring dengan meletakkan bantal peluk membantu kita mengekalkan posisi tidur yang sihat.

5. Pastikan jika anda alah pada sesuatu jenis makanan
Ramai yang tidak menyedari jika mereka alah pada sesuatu jenis makanan kerana ini juga boleh menjadi punca kepada halangan pada kerongkong dan saluran nasal. Jika pastikan kita ada alah pada sesuatu jenis makanan dan cuba kurangkan pengambilan makanan jenis tersebut perlahan-lahan.

6. Kurangkan berat badan
Bagi mereka yang gemuk, sebaiknya turunkan berat badan kerana lemak yang terkumpul di sekitar kerongkong dapat dihindari. Cara ini bukan sahaja dapat membantu mengatasi masalah dengkuran tetapi kita akan dapat tidur nyenyak serta personaliti kita akan turut nampak lebih menarik dan memikat.

Ada sesiapa yang tahu kaedah lain untuk mengurangkan atau menghentikan dengkuran? Kongsikanlah dengan saya di bahagian komen ya. Terima kasih.

2 Komen

Filed under Kesihatan, petua