Monthly Archives: Oktober 2011

Orang ni memang tak sayang anak…

Satu pagi, penulis dalam perjalanan ke rumah kawan, singgah sebentar di sebuah pasar di bandar K**** untuk membeli buah tangan. Lalu penulis terlihat seorang bapa bersama anak kecil sedang parking motor di tepi jalan. Si bapa kelihatan tergopoh-gapah menongkat motor dan berjalan ke arah pasar tanpa membawa anaknya yang ditinggalkan bersendirian. Mungkin dia nak singgah sebentar agaknya.

Tapi selepas setengah jam, sibapa belum juga kembali. Kesian sianak, sudahlah ditinggalkan ditengah panas, sibapa pula mengambil masa yang lama untuk kembali (tanpa memikirkan keselamatan anaknya).

Apa jadi kalau anak itu bergerak, mungkin motor itu akan terbalik dan menimpanya. Bagaimana pula kalau ada orang berniat jahat mencolek anaknya? Sikap ambil mudah inilah yang akan menyebabkan sesal tak sudah kalau sesuatu yang buruk berlaku.
Memang orang ini tak sayang anak!

2 Komen

Filed under Pengajaran, Uncategorized

Satu pagi yang indah..

Bangun pagi, ketika fajar menyinsing kelihatan cahaya matahari kemerahan mula untuk menerangi alam. Suasana yang begitu damai dan nyaman sekali.

Selepas beberapa ketika, matahari keluar di sebalik  gunung dan mula menebarkan cahaya sedikit demi sedikit. Bila melihat pemandangan pagi ini, kelihatan sungguh indah dan damai sekali….ciptaan Allah yang Maha Berkuasa. Perkara ini berlaku setiap hari, tapi ramai yang tidak memperdulikannya.


Apabila cahaya matahari menerangi pagi, kelihatan pemandangan sawah padi yang begitu cantik dan mempesonakan. Satu pagi yang indah…

2 Komen

Filed under Menarik, pagi, pemandangan, Pengajaran, Tempat Menarik

Teringat Musim Haji Zaman Dulu

Kaabah waktu malam..sumber:google

Pada minggu ini bermulalah bakal-bakal haji berangkat ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan Rukun Islam yang kelima. Ramai juga kawan-kawan aku yang berpeluang mengerjakan haji pada tahun ini. Minggu ini sahaja 4 orang telah berlepas dengan menaiki kapal terbang di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Aku teringat musim haji pada zaman dulu iaitu pada tahun 1960an. Untuk pergi ke Tanah Suci Makkah, jemaah haji kena menaiki kapal laut. Masa itu aku masih berada di sekolah rendah lagi, berumur 7 atau 8 tahun. Apabila ada seorang penduduk kampung kami akan menunaikan haji, kami akan menyewa bas menghantarnya ke Pelabuhan Pulau Pinang. Pada masa itu, tambang untuk menaiki kapal laut ke Makkah kira-kira RM2,500 sahaja. Biasanya kami akan bertolak awal sehari dengan bas. Kapal haji akan berlabuh dekat Padang Kota Lama (Port Cornwallis) di Pulau Pinang dan kami beramai-ramai bermalam disekitar Padang Kota lama itu.

Perjalanan dengan kapal laut mengambil masa berbulan-bulan, jadi jemaah haji kena bawa bekalan makanan (ikan kering,beras dan lain-lain), kain baju dan perkakas memasak. Semua barang-barang itu dimasukkan ke dalam kotak kayu yang besar yang dipanggil Tong sahara ( kami sebut “Tong Sara” sahaja).

Saat yang paling sedih dan sayu, apabila azan dilaungkan beberapa saat sebelum kapal belayar. Ada sanak saudara yang menangis kerana belum tentu dapat berjumpa lagi dengan jemaah yang pergi ke Makkah. Aku dengar cerita, apabila ada jemaah haji yang meninggal dunia di atas kapal, jenazahnya akan dikebumikan ke dalam laut.

Gambar Kaabah Zaman Dulu

Gambar Kaabah Zaman Dulu.. Sumber: Google

Selepas 3 atau 4 bulan, jemaah haji akan pulang ke Tanah Air dan bergelar “Haji” atau “Hajjah“. Jemaah haji lelaki akan memakai serban sejak pulang dari Makkah hinggalah ke akhir hayatnya. Jadi pada zaman itu, kalau terjumpa orang memakai serban, kita akan tahu bahawa dia telah mengerjakan haji. Berbagai buah tangan yang dibawa balik dari Makkah, yang pastinya Air Zam Zam, tasbih, kopiah putih dan gelang Makkah( dibuat daripada plastik berwarna hitam).  Sesiapa yang datang melawat jemaah haji yang baru pulang akan diberikan salah satu daripada benda-benda itu. Aku masih ingat, aku dapat ‘kamera kotak’ yang ada gambar Makkah dan Madinah. Apabila dipetik, gambar akan bertukar dari satu gambar kepada gambar yang lain ( Aku lihat ada tertulis “Made in China” pada kamera kotak itu!)

 

2 Komen

Filed under Agama, Cerita, Islam, Nostalgia