Tag Archives: rawatan tradisional

Rawatan Tradisional Merawat Patah Tulang

PASIR MAS, KELANTAN:  MASALAH patah tulang sering terjadi dan mangsanya pasti berasa sakit yang amat sangat. Lazimnya patah tulang berlaku terhadap mangsa akibat nahas jalan raya, terjatuh dari pokok, ditimpa benda yang berat atau sebagainya. Namun, mangsa patah tulang tidak perlu berasa bimbang tentang bakal berlaku seperti cacat atau sebagainya kerana rawatan terhadapnya akan dapat mengembalikan sebagaimana keadaan asal malah sembuh sepenuhnya dalam masa tiga hari sahaja. Apatah lagi, rawatan patah tulang terbabit tidak perlu mengeluarkan belanja yang besar jika dilakukan secara tradisional berbanding di hospital.

Pengalaman salah seorang pakar merawat tulang secara tradisional yang ditemui Penulis, Abdul Rahman bin Daud, 65, atau lebih dikenali Tok Ayah Man Bomoh Patah dari Kampung Chetok Sungai, Pasir Mas, Kelantan mengakui, merawat mangsa patah tulang paling senang baginya dan tidak sesukar mana berbanding yang dilakukan secara moden.

Menyorot sejarah beliau mendapat ilmu merawat patah tulang sebagai bomoh dari arwah orang tuanya. Namun, kebanyakan amalan yang diajari oleh orang tuanya itu adalah sebagaimana wirid yang diamalkannya di dalam sembahyang.Tetapi beliau tidak menolak pernah memperolehi ilmu berkenaan daripada keturunan atuknya yang berasal dari Pattani, Siam.

Katanya, beliau berkecimpung sebagai bomoh patah tulang sejak lebih 10 tahun lalu. Pada awalnya, beliau memang menolak untuk diajarkan ilmu berkenaan kerana menurut adiknya, beliau adalah seorang yang agak lembam. Namun, takdir Allah S.W.T  adalah penentu segala-galanya apabila salah seorang penunggang motosikal yang terbabit dengan nahas jalan raya semasa menunggang menyebabkan beberapa bahagian tulang tangannya patah dua.

“Kalau tersilap rawat kemungkinan tulang mangsa yang patah itu pasti putus. Pada mulanya, Tok Ayah Man berkata tidak kepada mangsa, namun kerana sifat kasihankan penunggang terbabit terpaksalah Tok Ayah merawatnya.

“Hasil rawatan tersebut, masalah patah tulang yang dialami oleh mangsa sembuh sepenuhnya dan apabila dilihat tulang yang patah itu bersambung sebagaimana yang asal. Sekarang ini, mangsa berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)”, ujarnya ketika menjelaskan mangsa pertama yang pernah dirawatnya.

Menurut Tok Ayah Man, kaedah beliau merawatnya dengan memasukkan tulang yang patah tersebut kepada asalnya dan selepas itu beliau menggunakan “belat” (bilah-bilah buluh atau papan untuk membalut tulang patah). Semasa memasukkan tulang tersebut, tentunya pesakit akan berasa sedikit kesakitan, namun dalam masa tiga hari sahaja patah tulang tersebut sembuh seperti sediakala. Katanya, kalau tangan yang patah mangsa tidak akan berasa sakit tetapi kalau sendi yang patah atau tercabut pastinya akan berasa sakit.

Katanya lagi, semasa beliau memulakan rawatan beliau sekadar membaca “bismillah” sahaja. Namun, beliau tidak nafikan semasa sessi rawatan keturunannya itu akan datang membantu. Dengan demikian, rawatan yang dilakukannya agak mudah dan menjimatkan masa. Hasil daripada bantuan keturunannya itu beliau seolah-olah mengetahuinya sendiri dan apakah yang perlu dilakukannya.

Semasa rakaman temubual ini dibuat, mangsa yang mengalami patah tulang yang memerlukan khidmatnya masih menunggu seramai tujuh orang lagi, kesemuanya dari Kelantan. Kebanyakan mangsa patah masih memerlukan rawatannya dan sanggup menunggu agar beliau dapat memberikan rawatan yang diperlukan.

“Sudah menjadi kebiasaan bagi Tok Ayah bahawa setiap orang yang memerlukan bantuan dan pertolongan, Tok Ayah bersedia memberikan pertolongan apatah lagi yang melibatkan patah tulang dan sendi yang tertanggal.

“Walaupun tugas berkenaan pada sesetengah orang dianggap berat, Tok Ayah berpegang kepada satu prinsip iaitu Tok Ayah hanya berikhtiar dan berusaha sahaja, hanya Allah jua yang menyembuhkannya”, ujarnya.

“Tok Ayah pernah membuat rawatan patah tulang dari beberapa pesakit yang pernah masuk ke wad Hospital Sultanah Zainab II, Kota Bharu dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu.

“Ada seorang doktor pakar dari HUSM yang datang menemui Tok Ayah bagi mendapatkan rawatan untuk anaknya yang patah tulang. Ini kerana, bagi doktor pakar itu tidak sanggup memasukkan besi ke dalam tubuh anaknya”, katanya menceritakan pengalamannya merawat anak seorang doktor pakar dari HUSM itu.

Menurut Tok Ayah Man seterusnya, dalam konteks rawatan tradisional, seseorang bomoh patah akan merapatkan tulang yang patah itu supaya lemak yang terdapat pada tulang berkenaan akan turun ke bawah barulah tulang itu akan bercantum balik dengan sempurna. Berbeza pula dengan hospital yang menggunakan “besi skru” untuk mencantumkan tulang. Kaedah ini memerlukan masa yang agak lama, sebab lemak dalam tulang tersebut dihalang atau disekat oleh skru tersebut.

Menurut Tok Ayah Man, setakat ini khidmat beliau sebagai bomoh patah, beliau dapati sudah lebih 1,000 mangsa patah tulang yang pernah dirawatnya kembali menjalani kehidupan normal dan dapat menjalankan kerja seperti biasa untuk menunjukkan tulang yang patah itu sembuh sepenuhnya. Mangsa yang pernah menerima rawatan dalam sehari dianggap tidak menentu. Kadangkala agak ramai sehingga beliau tidak dapat menguruskan keperluan hariannya pernah berlaku dalam usaha untuk membantu mangsa pulih sepenuhnya. Lazimnya, kira-kira lima orang mangsa yang datang mendapatkan rawatan darinya dalam sehari.

Apabila ditanya tentang bayaran yang dikenakan terhadap mangsa, beliau sebenarnya tidak mengharapkan sebarang bayaran daripada pesakit atau mangsa, kecuali atas kerelaan dan keikhlasan daripada mangsa itu sendiri. Beliau hanya mengikut sunnah Nabi S.A.W  yang sedia berkhidmat kepada individu yang memerlukan bantuannya sahaja. Beliau tidak menetapkan harga, hanya pesakit atau mangsa yang memberikan hadiah menurut keikhlasan dan kemampuan masing-masing, itulah rezekinya pada masa itu.

Bagi Tok Ayah Man, beliau tidak berasa pelik atau sukar untuk merawat mangsa patah tulang asalkan mangsa berkenaan terus mendapatkan khidmatnya dengan segera. Bagi mangsa patah tulang yang baru pastinya akan sembuh dengan cepat berbanding dengan membiarkannya menderita sakit dalam tempoh yang agak lama, itulah yang paling sukar sekali kerana tulang yang patah itu telah didapati sebati dengan darah dan daging. Pokok pangkalnya, beliau begitu teruja untuk merawat mangsa patah tulang kerana baginya rawatan berkenaan tidaklah sesukar mana.

“Ketika Tok Ayah Man membuat rawatan, Tok Ayah hanya membaca “auzubillah himinnas syaiton nirrajim, bismillah hirrahman nirrahim” dengan kehendak dan izin Allah, tulang yang patah itu bersambung dengan sendirinya pada ketika itu juga”, jelasnya.

Untuk mendapatkan rawatan, Tok Ayah Man boleh dihubungi melalui
talian: 019-9298395.  

Sumber

http://azmipasak.blogspot.com/2012/06/rawat-patah-tulang.html

2 Komen

Filed under Cerita, Kesihatan, Menarik, Pengetahuan